Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari kedua kami berjalan-jalan di Maran dimulakan dengan sarapan pagi nasi lemak bersama kawan-kawan sambil ditemani bunyi unggas dan kedamaian waktu pagi di Bukit Makro yang turut dikenali dengan nama Bukit Senggora yang terletak lebih kurang 1.8 kilometer dari Taman Tasik Maran.

Kalau naik kenderaan, tidak sampai 5 minit sudah sampai ke sini. Kalau kita memang dalam program adventure dan tema berjalan kaki ke hulu ke hilir di Maran ini, kita akan tiba di kaki Bukit Maran lebih kurang 30 minit berjalan kaki dari Taman Tasik Maran.

Bukit Makro ini merupakan kawasan untuk pendakian dan hiking yang terkenal di kalangan penduduk tempatan. Kalau hari cuti kebiasaannya memang meriah dengan kehadiran pendaki.

Disebabkan tersedia jalan tar, bagi orang yang tidak biasa mendaki macam den nih ha, boleh sahaja berjalan menyusuri untuk sampai ke puncak Bukit Makro pada ketinggian 279 meter. Berapa lama masanya untuk sampai ke atas ini bergantung kepada stamina masing-masing dan pit stop yang kita berhenti untuk bergambar ye.

Di puncak bukit yang menempatkan menara telekomunikasi milik TM, kita boleh bergambar di ruangan berwarna-warni yang disediakan. Boleh juga melepaskan lelah dengan berehat-rehat dan menjamah juadah yang dibawa di bangku yang tersedia di sini.

Macam kanak-kanak ribena dah semua ni
Dah kenapa sudu tuh macam terletak elok bawah dagu

Bagi mereka yang mendaki Bukti Makro, ada disediakan kemudahan tandas bergerak dan bekalan air bersih pada check point di ketinggian 240 meter.

Macam penat naw gayanya padahal naik kereta kot

Menarik kan ada tempat riadah yang sesuai untuk mereka yang bukan pendaki pun kerana jalan tar yang disediakan membolehkan orang biasa macam den berpeluang menapak naik ke puncak Bukit Makro.

Walaupun hutan yang mengelilingi Bukit Makro ini kelihatan tidak terlalu tebal tetap juga kita perlu menjaga tutur kata dan perbuatan apabila mendaki di sini ye.

Bagi mereka yang memang tidak larat hendak mendaki, boleh sahaja bawa kenderaan ke atas hingga ke puncak Bukit Senggora ini. Macam kami memang naik kenderaan sahaja, tidak berpeluang mendaki kerana kesuntukan masa disebabkan jadual yang padat.

In sya Allah bila ada rezeki untuk ulang semula datang ke Maran, den akan cuba mendaki Bukit Maran tanpa menaiki kenderaan. Barulah adventure kan?

Jangan lupa mengabadikan gambar kenangan di pintu masuk ke Bukit Makro yang menempatkan binaan ala mini Eiffel Tower. 


 

 

2 Comments

  1. betul walaupun tak tebal kena jaga tutur kata. sesuai utk seisi keluarga utk hiking di sini

    ReplyDelete