Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Disebabkan entah bila den ada peluang hendak menjejak Lord of The Ring di New Zealand, kita gembirakan diri dahulu dengan melihat beberapa deretan binaan lama yang tetap utuh seperti balai polis, klinik desa dan sebagainya apabila berpeluang ke FELDA Kg New Zealand yang terletak lebih kurang 15 km dari Maran.

Kenapa Namanya FELDA Kg New Zealand?

Soalan yang wajib ditanya apabila ke FELDA Kg New Zealand adalah kenapa namanya New Zealand?

Adakah kerana suasananya sejuk seperti New Zealand atau adakah terdapat aktiviti pemeliharaan lembu baka New Zealand di sini?

Walaupun FELDA Kg New Zealand bercuaca panas lembap sebagaimana kebanyakan tempat di Malaysia dan tiada aktiviti membela lembu di sini, tetap juga menarik asal usul nama FELDA Kg New Zealand yang terkait sejarah.

FELDA Kg New Zealand seluas 2500 ekar mula dibangunkan pada 1960 dengan penanaman getah asalnya bernama Rancangan Kemajuan Tanah Sungai Kertam.

Ianya ditukarkan kepada FELDA Kg New Zealand pada 1965 sebagai menghargai bantuan pembangunan ekonomi dan sosial yang diberikan oleh Kerajaan New Zealand di bawah Rancangan Colombo (usahasama strategik di antara Negara-negara Komanwel).

Kami diberi taklimat dan penerangan tentang sejarah, aktiviti terkini dan perancangan masa depan FELDA Kg New Zealand oleh pihak pengurusan kampung ini termasuk Guru Besar SK Ulu Luit Cikgu Jasmi, Tok Penghulu dan beberapa orang JKKK.

Sehingga hari ini peneroka asal yang masih tinggal adalah lima (5) orang.

Kami juga melihat gambar dan catatan sejarah berkaitan FELDA Kg New Zealand di Balai JKKK.

Makanan Apa Yang Menarik di FELDA Kg New Zealand?

Ada dua (2) makanan yang memang kena cuba kalau sampai ke sini iaitu laksa kebok dan sambal hitam belimbing buluh.

Alhamdulillah rezeki kami dapat menjamu selera dengan laksa kebok.

Cuma tiada rezeki hendak merasa sambal hitam belimbing buluh. Mungkin kena datang lagi nanti ke sini😅

Terdapat juga makanan lain yang kita boleh cuba di sini iaitu kuih bangkit dan kuih penderam

Perancangan Aktiviti Pelancongan FELDA Kg New Zealand

Pengurusan FELDA Kg New Zealand sedang di peringkat perbincangan untuk:

1. melaksanakan aktiviti kembara di dalam ladang kelapa sawit di mana pengunjung akan diberikan pengalaman melihat aktiviti mengait buah kelapa sawit, memandu ATV dan sebagainya;

2. membina galeri mempamerkan fakta sejarah termasuk dokumen dan gambar;

3. meningkatkan aktiviti penternakan arnab yang sekarang ini diusahakan oleh generasi kedua FELDA; 

4. penyediaan cenderahati seperti keychain, baju dan sebagainya.

Ada homestay yang diusahakan oleh penduduk secara persendirian yang boleh kita sewa untuk merasai pengalaman bermalam di sini.

Sudah panjang lebar den bercerita tentang FELDA Kg New Zealand ni. Korang hendak datang ke sini tak?

Korang boleh layari blog 

https://newzealandvillage.blogspot.com 

untuk membaca dengan lebih terperinci kisah FELDA Kg New Zealand ni ye. Gambar-gambar hitam putih yang den gunakan di dalam penulisan ini diambil dari blog tersebut.

0 Comments