Kisah Dari Hospital

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua?

Den menghabiskan MC terakhir pada hari ini sebelum mula bekerja pada Isnin depan in sya Allah.

Den hendak kongsikan beberapa cerita sepanjang 7 hari den berkampung di Hospital Shah Alam.

Pemandangan dari wad

Ramai yang cakap apabila masuk wad di hospital adalah masa untuk berehat, boleh banyakkan membaca Al-Quran, berzikir, membaca buku, tengok KDrama dan tidur sampai lebam.

Tetapi den tidak begitu ye.

Tidak tahu la sebab iman setipis kulit bawang atau macam mana tetapi sepanjang 7 hari itu den membaca Al-Quran, berzikir dan membaca buku sekupang dua aje.

Langsung tidak terasa hendak tengok KDrama.

Tidur-tidur ayam sebab 1.45 pagi atau 2 pagi Dr akan datang ambil darah.

Nurse akan periksa tekanan darah 3,4 kali sehari.

Den teringat ramai yang menceritakan arwah Prof Madya Dr Mohd Kamil Ibrahim, pengarang pelbagai buku antaranya Karya Terakhir dan Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang tidak pernah meninggalkan solat malam termasuk tahajud setiap hari, membaca Al-Quran dan berzikir sepanjang arwah di wad sehingga akhir hayatnya.

Terasa terpleotnya la diri kalau nak dibandingkan dengan arwah🥲. 

Solat

Disebabkan den kena drip air sepanjang di wad, memang kena solat duduk.

Seminggu solat duduk buat hati rindu hendak sujud.

Bukan sebab den baik.

Tapi sebab selama ini macam tidak perasan yang dapat solat dan sujud dengan sempurna adalah satu rezeki.

Jadinya bila masuk wad, baru perasan yang betapa selama ini kurang/terlupa hendak bersyukur dapat sujud di atas sejadah.

Uniform sepanjang 7 hari

Membaca

Disebabkan den tiba-tiba terus kena masuk wad, jadinya memang tidak bersedia apa pun.

Den pesan dekat si A suruh pilih mana-mana 3 buah buku yang ada atas meja di bilik kedua di rumah.

Sekali nohhh rokiah dipilihnya 3 buah buku yang buat rasa insaf sungguh😅lagi-lagi buku karya arwah Tok Guru Nik Aziz iaitu Persiapan Menghadapi Maut Siri 2.

Kome nengok la buku-buku yang dipilih oleh A😅

Bertuah betul kan anak yang seorang itu.

Patutnya pilih la buku-buku duniawi yang ringan dan manis.

Memang dia suruh mamanya muhasabah diri masa di dalam wad gamaknya ye😅.

Alhamdulillah dalam dok terpleot, den berjaya menghabiskan 2 buah buku iaitu Kompas Surah Al-Mulk dan buku Tuan Guru walaupun tercopot-copot jantung membacanya😅.

Antara pesan Tok Guru yang paling den ingat daripada buku ini adalah untuk sentiasa berdoa agar dilindungi daripada seksaan azab kubur.

Waktu Yang Dinantikan

Sepanjang di wad waktu yang paling den tunggu adalah waktu makan sebab tak tau kenapa macam teruja bila makanan dihantar😅.

Walaupun diet den adalah low cholesterol dan no salt tetap la juga den ternanti-nanti waktu makan.

Antara makanan yang den paling suka bubur yang ala-ala bubur lambuk

7.30 pagi sarapan

12.30 tengahari makan tengahari

3.30 petang minum petang

6 petang makan malam

Den adalah antara pesakit yang makan makanan hospital dengan bersungguh-sungguh😅.

2 Orang Aunties Cina Berumur 70an

Ada 2 orang aunties Cina masuk wad di bilik yang sama dengan den kerana degupan jantung mereka tiba-tiba laju.

Seorang aunty berumur 74 tahun setiap pagi akan briskwalk keliling tasik di rumahnya dan menjaga pemakanannya.

Seorang aunty berumur 72 tahun masih bekerja 8 jam sehari menggosok baju di kedai dobi. Dia mengayuh basikal 30 minit setiap pagi untuk pergi kerja dan mengayuh basikal setiap petang balik ke rumah. Dia juga menjaga pemakanannya.

2 orang aunties ini pesan untuk makan berpada-pada dan bersenam setiap hari.

Badan mereka masih fit pada umur 70an.

Segan den yang baru hendak masuk separuh abad tapi tidak fit langsung🥲.

Kembali Ke Hospital Kerajaan

Ada seorang pesakit ini asalnya membuat dialisis di hospital swasta yang terkenal.

Tetapi tapak untuk dialisisnya ada masalah dan dia diminta untuk ke hospital kerajaan untuk membuat tapak baru.

Katanya hospital swasta tersebut tiada kepakaran untuk membuat tapak bagi dialisis.

Dr Pakar kebanyakannya memang berada di hospital kerajaan tetapi kerana beban tugas yang menggunung, kekurangan kakitangan, masalah pentadbiran dan pengurusan KKM menyebabkan Dr Pakar ramai yang mula beransur pergi.

Kerugian untuk negara dan rakyat sebenarny sebab tidak semua orang mampu ke hospital swasta.

Doktor dan Jururawat Yang Terus Melaksanakan Amanah Walaupun Penat dan Mungkin Burn Out

Ada Doktor dan jururawat yang jadual bertugasnya tidak tahu macam mana tapi hampir setiap hari mereka ada di hospital.

Ada Doktor yang pakai baju yang sama 2,3 hari. Mungkin shift nya panjang barangkali ye.

Semuanya memberikan perkhidmatan dan penerangan dengan penuh sabar walaupun kita boleh nampak betapa letihnya mereka.

Bagi pesakit yang bedridden yang warisnya tidak dapat temankan, jururawat akan tukarkan pampers, berikan susu melalui tiub, dsb walaupun itu bukan skop kerja utama jururawat.

Kerajaan sepatutnya memandang serius isu perjawatan dan kebajikan bagi kakitangan kesihatan.

Momok Difitnah

Malam keempat den di wad, den terdengar bunyi thump...thump...yang berterusan betul-betul di katil kosong (pesakitnya discharged petang tersebut) di hadapan katil den dalam pukul 11.45 malam. 

Den terfikir 'alamak...ada momok ke?'.

Den malas hendak fikir den terus pejam mata sambil letak bantal atas muka dan akhirnya den tertidur.

Masa Dr ambil darah dalam pukul 2.30 pagi, den tengok katil kosong itu telah dialihkan dan diletakkan baldi kerana ada kebocoran rupanya.

So bunyi yang den dengar adalah bunyi air yang menitis laju akibat kebocoran.

Tiada momok.

Tidak pasal-pasal momok difitnah😅.

Masa den discharged, kebocoran masih berlaku

Bayangan Neraka?

Ada seorang pesakit yang jatuh koma 2 hari semasa pengebumian anaknya yang meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung.

Pesakit bercerita sepanjang 2 hari dia koma dia macam ternampak neraka. Terbakar dan warna merah di sana sini. Terlalu panas yang tidak boleh digambarkan.

Den yang terdengar dia bercerita kepada pelawat-pelawatnya langsung seriau.

Berapa Bil 7 Hari Di Hospital?

7 hari di wad + ujian darah setiap hari (mungkin lebih 10 kali darah diambil dan diuji di makmal) + consultation oleh Dr Pakar setiap hari + masuk drip lebih 10 botol + xray + ultrasound + pengambilan tekanan darah 3,4 kali setiap hari + ujian gula sekali setiap hari + ubat gastrik untuk 1 bulan + makan 4 kali sehari sepanjang 7 hari = RM363.

Tetapi disebabkan den kakitangan kerajaan, den tidak buat bayaran apa-apa.

Kalau pun kena bayar RM363 dengan semua perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan adalah terlalu murah. 

Kerajaan menanggung subsidi untuk sektor kesihatan yang bukan kaleng-kaleng.

Malaysia sebenarnya antara negara yang memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan mampu milik untuk rakyat.

Begitulah sedikit sebanyak anekdot sepanjang 7 hari den di hospital.

Semoga den bertambah sihat dan tidak perlu masuk hospital lagi hendaknya.

In sya Allah.


0 comments