Resensi Buku Autobiografi Shahnon Ahmad

Assalamualaikum dan salam Jumaat penuh barakah. 

Semoga semuanya sihat dan dipermudahkan segala urusan.

In sya Allah masih ada masa untuk membaca Surah al-Kahfi pada hari ini.

 

Sekali sekala den akan pilih buku untuk dipinjam dari perpustakaan secara rawak.

Kadang kala hendak memenuhkan kuota bilangan maksima buku yang boleh dipinjam pada satu-satu masa.

Buku yang den akan mula baca tanpa expectation yang tinggi. 

Tiba-tiba menjadi buku yang terus buat den terpaku seusai mukasurat pertama.

Dan terus menyentuh hati hingga mukasurat terakhir.

Buku yang membuatkan kita memikirkan di mana letaknya tahap iman kita walaupun bukunya bukan buku agama.

Den hendak berkongsikan sebuah buku yang sebegitu.

Panjang resensi buku ini tapi mohon ada kesudian untuk membacanya sehingga habis ye.

🌸📘Autobiografi Shahnon Ahmad
✍️Shahnon Ahmad
📖281 mukasurat
🏫Perpustakaan Awam Batu Gajah

Buku autobiografi yang membuatkan den terkenang zaman kecil, merenung tentang masa depan agama, bangsa dan negara dan muhasabah diri untuk perjalanan kembali ke akhirat.

Arwah Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara kedua meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 84 tahun menulis autobiografi ini pada 2006 yang membuatkan mahu tidak mahu kita terpaksa berfikir dan mencari maklumat lanjut yang berakhir dengan satu renungan panjang.

Beliau yang berasal dari Sik, Kedah membahagikan autobiografinya kepada 8 bahagian yang menceritakan:
✅kehidupannya daripada kecil
✅ketegasan bapanya menyebabkan beliau terpaksa belajar sehingga memasuki asrama
✅kerjaya sebagai askar, cikgu dan pensyarah
✅perjalanan penulisannya sehingga beberapa cerpen dan novel diterbitkan
✅perjalanan bersama Silat Cekak Ustaz Hanafi
✅penglibatan di dalam Darul Arqam dan PAS
✅berkhidmat sebagai ahli politik sebagai ahli Parlimen
✅kontroversi novel SHIT
✅mengharungi pahit getir penyakit Myasthenia Gravis
✅persediaan ke akhirat

3 bab yang den baca paling lama dan berkesan di hati den adalah Al-Arqam, PAS dan beruzlah.

Masa baca tentang Silat Cekak Hanafi, langsung teringat tentang den yang tersertai Persatuan Silat Cekak Hanafi😅
Sempat la satu semester belajar rasanya.
Masih ingat lagi rasanya 2,3 buah silat sampai sekarang😅.

Penulis membuat penyelidikan sendiri sebelum menyertai al-Arqam kerana misi dan hala tuju al-Arqam yang jelas untuk membangunkan kehidupan Islam yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Antara hasrat al-Arqam untuk melahirkan para ulama atau intelektual Islam yang sejati.

Banyak perkara yang beliau huraikan tentang al-Arqam terutamanya konsep tarbiah dan pendidikan sebelum ianya difatwakan sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 kerana ajarannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam  yang membawa kepada syirik. 

Penulis menyertai jemaah PAS di zaman kegemilangan PAS yang diterajui oleh gandingan Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Ustaz Fadzil Mohd Noor yang memaknakan roh kepimpinan dan ilmu ulama pewaris para Nabi.

Kuliah Tuan Haji Hadi Awang di Masjid Rusila yang berpesan berkali-kali 'Marilah kita menjadikan akidah sebagai landasan kita' seharusnya dipegang teguh oleh semua jemaah PAS.
Den kena dengar ceramah ni nanti.


Ustaz Ashaari Muhammad dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah dua orang penulis prolifik yang penulis kagumi.

Banyak maklumat tentang kepimpinan asal PAS dan Al-Arqam yang dibincangkan di dalam buku ini.
Agak sebak dada ye bila satu jemaah yang diharapkan memperkukuhkan, menegakkan dan memperjuangkan kehidupan berlandas syarak jadinya seperti hari ini🥲.

Sayangnya al-Arqam telah "tersungkur di pintu syurga" (merujuk kepada tajuk buku oleh Zabidi Mohamed pada 1998).

Den turut sama merasa syahdu berkongsi kerisauan penulis sekiranya PAS menolak kepimpinan ulama dan mengantikannya dengan kepimpinan sekular yang dibawa sebagai ulama moden dan pascamoden🥲.


Mungkin sebab den udah tua, jadinya bila baca tentang perjuangan al-Arqam dan PAS yang sebenar pada asalnya untuk menegakkan Negara Islam memang buat hati sebak dan mata berkaca-kaca sebab sebagaimana petikan di dalam buku ini:

"Negara Islam itu tidak mungkin dapat ditegakkan kalau individu Islam itu belum wujud, rumah tangga Islam belum wujud dan jemaah Islam yang kita cita-cita nak tegakkan Islam dalam negara itu belum wujud"

Orang tua macam den ni yang semakin hari semakin dekat dengan kematian ni memang touching sikit bila cakap pasal Islam, jemaah, dsb sebab mengenangkan diri yang terlalu banyak salah silap yang perlu diperbaiki dan perlu berusaha untuk sentiasa berada di jalan yang lurus walaupun selalu terpleot.

Novel SHIT yang beliau karang menyebabkan pelbagai polemik ketika diterbitkan pada 1999 sehingga ada yang menyarankan anugerah Sasterawan Negaranya ditarik merupakan antara novel yang dikatakan antara novel yang kena setepek kepada pemerintah Negara.

Novel ini ada dalam TBR den udah lama tapi masih tidak terbaca🥲.

Autobiografi ini berakhir dengan den termenung panjang.

Penulisan yang menyebabkan den terfikir jauhnya lagi perjalanan hendak menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan akhlak Al-Quran dan termasuk di dalam golongan 'sedikit orang terkemudian yang akan memasuki syurga'.

Macam mana buku autobiografi berakhir dengan perasaaan sayu kan?
Terpleot benar rasa hati ini🥲.

Buku ini berakhir dengan senarai buku-buku yang den harap dapat baca suatu hari nanti.
Buku-buku karangan penulis, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Hadi Awang.


Buku yang sesuai diulang baca.
Buku yang akan lama duduk di hati.

Autobiografi yang molek dibaca oleh ramai.

Bila membaca kes-kes mutakhir ini dengan penyelewengan zakat sebanyak RM230 juta, pendakwah selewengkan duit NGO RM12 juta dan sebagainya membuatkan den teringatkan beberapa ayat di dalam buku ini yang bercerita tentang kebobrokan, korupsi dan ketamakan manusia yang diberi tanggungjawab di dalam masyarakat.

Sayu sayat hati mengenangkan nasib Islam di bumi Malaysia ini. 

Semoga Allah sentiasa pegang hati kita, ibu bapa, keluarga , pasangan dan keturunan kita untuk terus kekal di jalan yang lurus, dikurniakan rahmat berpanjangan sehingga akhir nyawa, dilapangkan kubur  seumpama taman-taman di syurga, dilindungi daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. 

In sya Allah. 

0 comments