Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Siap sedia hendak belajar sedikit sebanyak tentang sejarah Batam?

Museum Raja Ali Haji membawa kita menyelusuri peradaban Batam bermula dari era Kerajaan Riau Lingga, Belanda, Jepun, Kemerdekaan Indonesia, Pihak Berkuasa Batam, Kepimpinan BJ Habibie, Kota Pentadbiran, Khazah Melayu sehingga kini.

Raja Ali Haji

Siapa Raja Ali Haji ini yang namanya diabadikan untuk muzium di Batam ini? Bagi mereka peminat Sejarah sudah pasti tahu yang Raja Ali Haji merupakan ulama, tokoh sastera (sasterawan) dan ahli sejarah yang terkenal iaitu pengarang Tuhfat al-Nafis. Boleh baca sepintas lalu tentang latar belakangnya di petikan yang dipaparkan di Museum Raja Ali Haji ni ye.

Museum Batam Raja Ali Haji dirasmikan pada 18 Disember 2020 bersempena dengan sambutan ulang tahun Kota Batam yang ke 191 tahun.

Ruang Pameran

Setiap ruang pameran dibahagikan kepada setiap era yang pernah berlangsung di Batam di mana kebanyakan bahan pameran diberikan penjelasan secara bertulis, bergambar dan disertakan dengan beberapa barang tinggalan sejarah yang berkaitan.

Sekurang-kurangnya kita perlukan dua (2) jam untuk membaca semua maklumat terkumpul yang membentuk sejarah Batam sehingga hari ini.

Antara maklumat dan barang tinggalan sejarah yang wajar kita baca semasa di sini adalah cogan yang merupakan simbol kebesaran Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang, kepimpinan Nong Isa, Meriam sebagai saksi perjuangan Batam menentang penjajahan Belanda, Minamisebo (tugu Jepun) yang mewakili pengakhiran pendudukan Jepun di Batam, telefon bimbit pertama BJ Habibie yang merupakan tokoh pembangunan Batam, nafiri iaitu alat muzik tradisi Melayu serta Simpang Jam di mana satu ketika dulu terdapat simpang yang ditandakan dengan tugu jam.

Maklumat yang den paling fokus membaca adalah catatan tentang Era Konfrontasi Indonesia dan Malaysia dan sejarah pembinaan Jambatan Balerang.

Nama-nama tanjak yang terdapat di ruang pameran Khazanah Melayu memang menarik ye. 

Binaan Museum Batam Raja Ali Haji ini penuh kesenian dan klasik. Ruang-ruang tersedia sesuai untuk diabadikan kenangan bergambar di sini.


 Waktu Operasi adalah Selasa - Ahad (8 pagi – 4 petang). Tutup hari Isnin.

Untuk maklumat lanjut tentang Museum Batam Raja Ali Haji, boleh layari:

Facebook: https://www.facebook.com/museumbatam.rah

Instagram: https://www.instagram.com/museumbatam_rah

 

Jom kita sama-sama belajar sejarah Batam kerana sejarah sememangnya penting di dalam pembangunan insan dan tamadun. Sebagaimana pernyataan oleh ahli falsafah Sepanyol, George Santayana iaitu “Those who fail to learn from history are condemned to repeat it”, kita sewajarnya belajar tentang sejarah sesuatu tempat yang kita lawati agar menjadi pedoman di kemudian hari.


 

2 Comments