Perkara Yang Pasti Adalah Setiap Orang Akan Menghadapi Kematian
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Apa khabar semua di hari Jumaat yang barakah ini?
Diharap semuanya sihat walafiat.
Semoga kita semua Allah izinkan untuk membaca Surah Al-Kahfi pada hari ini ye.
Isnin lepas semasa den MC demam terpleot, den berkesempatan ikut menghantar ke kubur seorang jiran yang meninggal dunia akibat kanser.
Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Faizaton binti Mohd Rubi.
Arwah yang den panggil Kak Mimi merupakan jiran yang sangat baik.
Arwah merupakan seseorang yang masak apa semuanya sedap.
Disebabkan den ini adalah dalam kategori terpleot benar bab memasak atau dengan lebih tepat lagi malas memasak😅.
Makanya den memang selalu mengharap kasih dengan arwah Kak Mimi.
Menjadi pelanggan tetap mangkut tingkat arwah bertahun-tahun.
Kalau tiba-tiba Kak Mimi tak iklankan menu mangkuk tingkat, biasanya den akan whatsapp arwah tanya “Kak Mimi tak masak ke hari ni😅”?
Kadang-kadang Kak Mimi akan whatsapp den.
“Sarie…akak masak soto/masak lemak ayam/sup kaki ayam, etc tapi akak buat sikit je. Jadi akak malas nak iklankan dalam group. Kalau Sarie nak akak simpankan untuk Sarie”.
Kadang-kadang den dapat whatsapp “nanti balik kerja singgah rumah akak, akak ada buat sambal jawa lebih teringat dekat Sarie, datang ambil tau”.
“Soto ni akak masukkan begedil lebih sebab Sarie kan suka makan begedil”.
Kadang-kadang bila den teringin hendak makan apa-apa, den akan whatsapp arwah.
“Kak Mimi…..lama tak makan karipap sardin/sambal jawa/soto, etc yang Kak Mimi masak….rindu la….😅”.
Kadang-kadang den cuma whatsapp “Kak Mimi…..lepas tu letak emoji😅banyak-banyak.
Nanti Kak Mimi balas “ha….nak cakap lama tak makan karipap sardin la tu”.
Bila hendak menyambut Aidilfitri atau Aidiladha, den akan whatsapp “Kak Mimi masak apa raya nanti….nak tumpang lauk raya boleh ke…ikut Kak Mimi la nak caj berapa tapi harga kasih sayang la tau😅”
Macam itu la hubungan den dengan arwah Kak Mimi.
Hubungan berpaksikan makanan.
Hubungan seorang yang malas masak (den la ni😅) dengan seorang eonni yang rajin memasak dan melayan den.
Karipap sardin dan sambal jawa Kak Mimi memang den paling berkenan.
Kalau makan karipap sardin atau sambal jawa di kedai ke apa, selalu akan ada ayat “ala tak sama rasa macam karipap sardin/sambal jawa Kak Mimi”.
Kak Mimi ni manis sangat orangnya.
Rupanya iras teruk macam pelakon terkenal Korea Gong Hyo-jin.
Kalau den dan suami tengok/sembang tentang KMovie atau KDrama yang Gong Hyo-jin berlakon mesti ayat kitaorang:
“Ingat tak cerita yang Kak Mimi berlakon yang ada orang tidur bawah katil dia tu”.
“Kak Mimi ni muka typical Korea yang bukan comel, putih melepak apa semua tapi kenapa popular kan?”.
“Sayang la KDrama When the Stars Gossip ni. Pelakon dah mantap dah ada Kak Mimi semua tapi terpleot la pula jalan ceritanya”.
Den sempat pergi 2 kenduri kahwin anaknya.
Card holder yang den dapat sebagai buah tangan kenduri kahwin anaknya masih den pakai sampai sekarang.
Den bersama jiran yang lain berkunjung ke rumahnya semasa menantunya meninggal dunia semasa bermain futsal.
Bila arwah didiagnos sakit kanser rahim, arwah membuat rawatan di Institut Kanser Negara.
Arwah pindah ke rumah atas tanah untuk memudahkan urusan pergerakan untuk rawatan.
Arwah disahkan bebas kanser selepas hampir setahun mendapatkan rawatan.
Den sempat menziarah arwah di rumah barunya sekali selepas beliau tamat rawatan.
Kak Mimi cakap walaupun beliau dah okay beliau tak larat nak buat aktiviti macam dulu.
Beliau kena banyak berehat.
Selepas itu, ada sekali sekala den whatsapp Kak Mimi bertanyakan khabarnya.
Kak Mimi sempat usik den “rindu dekat karipap sardin la tu😅”.
Selepas beliau sembuh ada beberapa kali dia hantarkan sambal jawa, soto dan karipap sardin kepada jiran-jiran yang memesannya termasuk den.
Selepas setahun Kak Mimi bebas kanser, sel kanser datang kembali.
Masa ini beliau sudah tidak mahu berjumpa dengan kawan-kawan atau jiran-jiran.
Den cuba memahami situasi beliau.
Kalau den sakit pun den tidak mahu jumpa sesiapa.
Den hanya hendak duduk dengan keluarga kecil den dan Putihah je (seekor arnab yang masih ada dengan kami).
Sebab den rasa masa tuh kita akan lebih fokus pada hal-hal terkait kematian dan perkara-perkara yang kita perlu selesaikan sebelum dijemput pulang.
Jumaat lepas dimaklumkan arwah Kak Mimie kritikal di Institut Kanser Negara.
Walaupun semua dibenarkan untuk berjumpa beliau, Doktor minta dihadkan pelawat.
Den tidak sempat ziarah beliau di IKN.
Arwah Kak Mimi meninggal dunia pada Isnin, 16 Jun 2025 pada 5.15 pagi.
Den dan beberapa orang jiran sempat mengiringi beliau ke tanah perkuburan.
Semasa ustaz/imam membacakan talkin, memang la berjurai-jurai air mata.
Sedih sebab arwah Kak Mimi meninggal dunia itu satu perkara.
Sedih mengenang nasib diri pun iya juga.
Lagi-lagi bila imam cakap.
“Kematian ini semua peringatan kepada kita yang masih hidup.
Setiap daripada kita akan merasai mati.
Apabila sampai masanya kita akan kembali kepada Allah.
Janji Allah adalah benar.
Mati itu adalah benar.
Alam barzakh adalah benar.
Titian sirat adalah benar.
Neraka dan syurga adalah benar”.
Masa tengok jenazah arwah Kak Mimi disambut oleh satu-satunya anak lelaki beliau, den terkenangkan diri den.
Adakah esok bila den meninggal dunia, 2 orang anak soleh den yang akan menyambut jenazah den di dalam lubang kubur?
Telah sampai janji untuk Kak Mimi.
Makanya den yang masih Allah beri izin bernafas bila lagi hendak menginsafkan diri.
Setiap hari kita semakin dekat dengan lubang kubur.
Hari ini masih ada masa Allah bagi untuk bertaubat, memperbaiki solat, berusaha membaca Quran dengan tajwid yang betul dan sebagainya.
Esok belum tentu.
Itu yang buat Isnin den terpleot dengan jayanya.
Sedih sebab Kak Mimi yang baik hati dan pandai masak dah takde.
Sedih mengenang nasib diri bagaimana la pengakhirannya nanti.
Demam teruk kesiputan menguitnya.
Terpleot mengenangkan hal-hal kerja yang bisa mengundang rasukan abalasa😅.
Patah hati mengenangkan bila hendak ada courage untuk jual rumah, berhenti kerja, lepak dengan kiddos main lego dan buat benda yang den hendak buat macam tidur sampai lebam😅.
Sedih keratan pokok basil den mati bergelimpang semuanya.
Sebagaimana pesanan ustaz di tanah perkuburan pada Isnin lepas.
Setiap berita kematian yang kita terima sebenarnya adalah peringatan kepada kita yang masih hidup untuk berusaha menjadi hamba Allah yang terbaik.
Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok orang yang rugi sebagaimana yang Allah bagitau dalam Surah Al-Kahfi ayat 103 dan 104.
Semoga Allah kurniakan rahmat dari sisiNya kepada kita semua setiap hari sehingga akhir hayat kita.
Semoga Allah beri ihsan dan syafaat kepada kita akhirnya untuk memasuki salah satu daripada 7 syurga yang ada.
Syurga Firdaus, ‘Adn, An-Na’im, Darul Khulud, Ma’wa, Darus Salam dan ‘Illiyyun.
Akhir kata, mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Faizaton binti Mohd Rubi.
Jaga diri semua.
In sya Allah kita usahakan sedaya mampu menjadi hamba Allah yang terbaik ye.
0 Comments