Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 25 Mei 2024, den berpeluang menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Pelancaran Tabung Bersamamu Rafah anjuran Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) dengan kerjasama Musolla Aisya.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Dato' Seri Alha Alfa selaku Penaung PEKAA dan Datin Seri Umie Aida selaku Penaung Musolla Aisya.

Majlis yang penuh bermakna ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM500,000 bagi membantu meringankan beban rakyat di Rafah, Gaza.

Tabung Bersamamu Rafah ini akan mengadakan kutipan dana bermula 25 Mei 2024 sehingga 8 Jun 2024.

Kerjasama strategik ini turut disokong oleh rakan kolaborasi, Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global di dalam memastikan matlamat kutipan dana ini dapat dicapai.

Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran 80 orang selebriti dan pempengaruh (influencers), pengasas (founders) perniagaan, dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia yang turut serta memberi sokongan terhadap inisiatif mulia ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dengan dipimpin oleh Ustaz Furqan Fawwaz.

Bacaan doa bagi kesejahteraan, ketabahan, keamanan dan kemenangan kepada bumi Palestin begitu menyentuh hati.

Seterusnya solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Ustaz Zainur Irsyadi.

Dato' Seri Alha Alfa dan Datin Seri Umie Aida di dalam kenyataan mereka berkata, "Kami berharap agar masyarakat Malaysia dapat bersama-sama menjayakan usaha ini. Setiap sumbangan yang diberikan akan membawa sinar harapan kepada saudara-saudara kita di Rafah yang sedang menghadapi pelbagai kesukaran. Kami mengalu-alukan kehadiran semua pihak untuk menyertai majlis ini dan menyumbang kepada Tabung Bersamamu Rafah. Marilah kita berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sesama manusia.”

Pengasas Cinta Gaza Malaysia iaitu Tuan Nadir al-Nuri berkongsi pengalaman keluarga beliau mengharungi kehidupan di Palestin.

Den terpesona melihat kelincahan anak-anak muda dari Silat Cekak Harimau berpencak silat di atas pentas.

Terdapat juga persembahan daripada Kumpulan Nasyid UNIC, Dato Ramli Sarip, Yuka Kharisma, Zizi Kirana, Kaka Azraff dan Lufya Omar di dalam majlis ini.

Mari kita bersama-sama menyokong usaha murni Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) dan Musolla Aisya di dalam pengumpulan dana bagi membantu penduduk Rafah.

 

 

 


0 Comments