Den tidak pernah tahu kewujudan pameran Rehlah Nabawiyyah yang membawa sirah Nabi Muhammad SAW di dalam 21 Segmen walaupun pameran ini telah dibuka kepada orang ramai sejak 18 November 2017.
Pameran yang diadakan di Galeri Utama, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 10, Shah Alam, memaparkan perjalanan hidup sebelum kelahiran sehingga kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Pameran Rehlah Nabawiyyah bertemakan “Bukan Sekadar Sejarah tapi Peradaban” yang diusahakan oleh Yayasan Restu ini sebenarnya sangat berinovatif dan menarik di mana kisah hidup Rasulullah SAW diterjemahkan di dalam pelbagai bentuk seperti lukisan tiga dimensi (3D), model, replika, video, hologram serta 21 segmen sirah.

Macam mana den boleh tidak tahu langsung tentang pameran Rehlah Nabawiyyah yang terletak sepelaung dari pejabat dan rumah den tetapi den boleh tau tentang Konsert Bruno Mars? Face palm sungguh.

Den tahu tentang pameran Rehlah Nabawiyyah pun asbab lawatan ke Nasyrul Quran di Putrajaya pada Disember lepas. In sya Allah den akan ceritakan tentang Nasyrul Quran di dalam blogpost yang akan datang ye.

Den bahagikan cerita lawatan den ke pameran Rehlah Nabawiyyah bersama keluarga kecil den kepada 3 bahagian sebab ada banyak gambar yang hendak dikongsikan.

Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor

Sebenarnya lawatan kami sekeluarga Rehlah Nabawiyyah pada Sabtu lepas (4 Januari 2020) merupakan kali pertama den menjejakkan kaki ke Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor walaupun telah hampir 20 tahun menetap di Shah Alam. Haish.

Masuk sahaja di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor yang pintunya dihiasi dengan ukiran indah serta gong besar, kita akan disambut dengan jujukan pelbagai buku agama dan Al-Quran yang dijual. 
Kalau papa depa yang jadi photographer macam ini la hasilnya
Ada banyak galeri pameran yang terdapat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor tapi den hanya sempat melawat Galeri Utama yang menempatkan pameran Rehlah Nabawiyyah sahaja. In sya Allah di masa akan datang den akan cuba melawat ruang galeri yang lain pula.

Terdapat 2 tabung yang den terjumpa semasa di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor iaitu Wakaf Tabung Pembangunan Rehlah Nabawiyyah dan Sumbangan Menyelenggara Bangunan. 
Ada beberapa tempat yang memang cantik untuk mengambil gambar sebelum memasuki ruang pameran Rehlah Nabawiyyah.
Den cakap dengan depa kita nak belajar tentang sejarah Rasulullah kena sopan-sopan. Langsung depa bergambar macam baca doa.
Waktu Operasi

Waktu operasi pameran Rehlah Nabawiyyah adalah setiap hari dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Harga Tiket

Dari pintu masuk utama ke kaunter jualan tiket pameran Rehlah Nabawiyyah tidak sampai 3 minit pun.

Harga tiket kalau diikutkan adalah:

RM25 bagi dewasa;

RM15 bagi warga emas, OKU dan kanak-kanak; dan

RM5 bagi kanak-kanak 3 - 6 tahun.

Tetapi masa kami melawat Rehlah Nabawiyyah, tiket yang kami perlu bayar untuk 2 orang dewasa dan 2 kanak-kanak hanya RM50. 
Kutipan bayaran tiket bagi pameran Rehlah Nabawiyyah akan disalurkan ke Tabung Dana Wakaf Quran untuk pelaksanaan dan pembangunan projek Manuskrip Al-Quran salinan tangan dan kesenian Islam Negara.

Setiap tiket dewasa yang berharga RM25 seorang itu boleh digunakan sebagai voucher RM5 bagi sebarang pembelian buku dan Quran berharga RM10 ke atas yang dipamerkan di ruangan yang mula-mula sekali kita jumpa semasa memasuki Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor kecuali bagi buku Rehlah Annabawiyyah itu sendiri.

Guided Tour 

Setiap lawatan akan ada tour guide yang akan menerangkan tentang sirah Nabi Muhammad SAW dari mula kita jejak kaki ke segmen pertama sehingga akhir lawatan. Pastikan datang pada waktu yang ditetapkan untuk guided tour ini ye. Memang lawatan mesti bersama tour guide nya k.

Den kongsikan jadual untuk guided tour untuk panduan semua.
Kasut perlu diletakkan di rak yang disediakan sebelum memasuki ruang pameran. Den sarankan pakai stokin ye baik untuk lelaki dan juga kanak-kanak sebab nanti kita kena berjalan keluar sedikit dari ruang pameran untuk tengok replika contoh ruang rumah Nabi Muhammad SAW. Kalau tak pakai stokin nanti akan rasa macam buat refleksologi kaki bila berjalan atas batu. Kalau kaki sensitive lagi haru. 

Perlukan paling kurang 2 jam untuk siap melawat ke semua ruang yang memaparkan pelbagai fakta berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW. Kalau banyak soalan yang ditanyakan kepada guide lagi lama kita di sini ye.

Hanya ada 2 keluarga yang menyertai lawatan pameran pukul 12.30 tengahari. Den empat beranak dan satu keluarga (ibu bapa dan 4 orang anak). 

Bagi lawatan ilmiah sebegini, bila pergi dengan anak-anak den memang sukar sedikit hendak fokus sebab hendak pastikan mereka tidak bergelinjangan lalu melanggar dan merosakkan bahan pameran. Memang den tidak sempat hendak baca semua maklumat di sini. Bila tour guide terangkan tentang sejarah Nabi Muhammad SAW, mula-mula anak-anak den dengar tapi lepas itu mereka jadi boring sebab mereka kurang faham dan tidak familiar dengan fakta ilmiah. Haish.

Budak-budak kan hatinya luhur dan cepat berkawan. Jadinya anak-anak den berkawan dengan anak-anak keluarga yang lagi satu lalu berpadu tenaga bergelinjangan di sana sini walaupun kita telah ditegur banyak kali jangan melompat bagai huhuhuhuhu. Walaupun tour guide memendekkan penerangan sebab risau budak-budak terjatuh atas bahan pameran, etc tetap juga lawatan tamat pada 2.30 petang.

Setiap ruang kita memang akan habiskan masa paling kurang 10 minit untuk mendengar maklumat ringkas yang disampaikan oleh tour guide. Kalau yang mengambil gambar sakan lagi lama kita akan habiskan masa di satu-satu tempat.
Kalau kita baca semua maklumat bahan pameran + tour guide memberi penerangan yang terperinci rasanya 3 jam baru selesai lawatan ke pameran Rehlah Nabawiyyah ini.

Bahan Pameran

Hampir 90% maklumat bahan pameran disediakan di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. 
Fotografi dan Videografi

Dibenarkan untuk mengambil gambar dan video di semua tempat kecuali di 3 bilik audio visual kerana setiap video yang ditayangkan mempunyai hak cipta terpelihara.

Restu Café

Lepas berjalan selama 2 jam lebih di pameran Rehlah Nabawiyyah, kitaorang dahaga dan lapar. Ingatkan nak late lunch atau minum petang di Restu Café yang terletak di dalam bangunan yang sama tapi sayangnya café dah nak tutup pada pukul 2.30 petang tu. Jadinya sempat beli air kotak je untuk anak-anak. 
Den tidak pasti samada Restu Café beroperasi sehingga 2.30 petang pada setiap hari Sabtu dan Ahad atau memang itu adalah waktu operasi Restu Café setiap hari sepanjang minggu. 

Jadinya kalau datang ke pameran Rehlah Nabawiyyah ini dalam tengahari dan petang, den sarankan bawa air dan snacks untuk anak-anak untuk dimakan selepas lawatan sebab memang akan dahaga dan lapar selepas berjalan tengok pameran paling kurang 2 jam. Kalau datang sesi pagi, in sya Allah boleh menjamu selera di Restu Café selepas lawatan.

Jualan Buku dan Cenderahati 

Selain daripada jualan Quran dan buku di ruang utama sejurus selepas pintu masuk, di hadapan kaunter tiket pameran juga ada beberapa kiosk menjual buku dan pelbagai cenderahati lain seperti penanda buku, keychain, etc.
Den cadangkan kalau siapa yang ada peruntukan lebih, boleh beli buku Rehlah Nabawiyyah yang telah diturunkan harga dari RM 70 kepada RM 50. 
Den beli set 3 buku RM 60 iaitu buku Rehlah Nabawiyyah + kisah pedang Rasulullah + buku panduan solat. Buku Rehlah Nabawiyyah macam menarik sangat. Walaupun den belum sempat baca tapi bila dibuka sepintas lalu, ada beberapa maklumat yang tak sempat tour guide bagitau (sebab budak-budak sakan melompat) terdapat di dalam buku ini.

In sya Allah dalam blogpost akan datang, den akan kongsikan gambar dan penerangan ringkas tentang setiap segmen yang ada yang den tersempat ambil gambarnya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pameran Rehlah Nabawiyyah, boleh layari:






Instagram: https://www.instagram.com/rehlahnabawiyyah
 
Waktu Operasi: 9 pagi - 5 petang (setiap hari)

Alamat: Seksyen 10, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor,
40100 Shah Alam, Selangor

Telefon: 03-5511 9001 

0 Comments