Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Baru-baru ini den berpeluang menginap 3 hari 2 malam di Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai, Perak semasa terlibat dengan Program Naturehike Outdoors Community Malaysia Mega Gathering 2.0 yang berlangsung pada 31 Ogos - 2 September 2023 yang lepas.

Kali pertama dan terakhir den datang ke Felda Residence Hotspring Sg Klah ini adalah pada tahun 2013 iaitu 10 tahun lepas.

Jadinya den memang teruja dapat datang lagi ke sini.

Tarikan dan Aktiviti Yang Boleh Dibuat

Pelbagai aktiviti yang kita boleh buat di sini dengan tema santai dan riadah begitu.

Pilih aje mana aktiviti yang berkenan di hati.

Aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.

 

Berendam dan mandi di kolam air panas

Mandi manda di mountain spring pool (kolam air sejuk)

Merebus telur

Berendam di kolam dan berjalan di taman terapi

Berendam di dalam private jacuzzi

Taman permainan

Animal village

Spa & massage CintaMi

 

Berendam Dan Mandi Di Kolam Air Panas

Aktiviti utama di sini sudah pasti berendam dan bermandi manda di kolam air panas kerana nama resort ini sendiri telah tertera perkataaan hot spring.

Kolam air panas dari sumber semulajadi adalah tarikan utama di sini.

Kita jangan lepaskan peluang untuk berendam dan mandi di kolam air panas ini ye.

Semakin dekat kita dengan sumber air panas, semakin hangat suhu air begitu.

Jadinya sekiranya kita termasuk di dalam golongan yang sensitif terhadap perubahan suhu walaupun kecil, kita boleh pilih untuk berendam di dalam kolam air panas pada bahagian yang lebih jauh dari sumbernya.

Ada kawasan yang panasnya suam-suam kuku begitu.

Kolam air panas tidak begitu dalam, lebih kurang paras pinggang orang dewasa.

Sekiranya kita hanya berminat hendak merendamkan kaki, kita boleh duduk di kerusi-kerusi batu yang terdapat di tepi kolam.

Rasa nyaman dan tenang sahaja bila dalam merendamkan badan di sini kerana kawasan ini dikelilingi oleh pemandangan menghijau.

Bukan setakat terapi badan berendam dalam kolam air panas, kita terapi mata sekali ye tengok kehijauan di sekeliling kawasan ini.

Kalau datang ke sini pada hari minggu atau cuti kelepasan am, kome boleh berendam sampai malam sebab semua kolamnya dibuka sehingga 10 malam.

Sakan den dan konco-konco berendam siang dan malam di sini.

Mandi Manda Di Mountain Spring Pool (Kolam Air Sejuk)

Ini kolam yang paling besar dan sangat diminati oleh kanak-kanak sebab ia ada gelongsor dan air terjun buatan.

Kolam air sejuk ni paling ramai pengunjung selalunya. 

Bukan kanak-kanak je suka sebenarnya, orang dewasa pun sama naik bila mandi manda di sini.

Kome tengok la den dan kawan-kawan ni ha.

Siapa ada lenguh-lenguh badan tuh, boleh cuba duduk di bawah jatuhan air terjun.

Terasa seolah-olah badan diurut begitu.

Ada kolam bahagian yang sesuai untuk kanak-kanak dan ada yang kolam yang sesuai untuk dewasa sahaja kerana kedalamannya.

Lifeguard sentiasa berada di kawasan kolam ini.

Tidak boleh makan minum di kawasan kolam ini ye.

 

Merebus telur

Ini antara salah satu aktiviti yang memang kena cuba sebab telur yang direbus di sini rasanya sedikit berbeza kerana direbus di dalam air panas dari sumber semulajadi.

1 mangkuk mengandungi 4 biji telur + kicap + lada sulah (RM5).

3 minit untuk telur separuh masak dan 6 minit untuk telur rebus adalah waktu yang dicadangkan di sini.

Hati-hati semasa masukkan telur dalam air panas tu. 

Kome kena cuba tau ni.

Berendam Di Dalam Private Jacuzzi

Dengan bayaran RM80/jam, kita boleh berendam dalam private jacuzzi.

Tersedia sekali bilik untuk berehat lengkap dengan tandas dan bathtub.

Santai dan awesome sebab hanya ruang ini hanya kita yang punya begitu.

Masa ni kalau hendak pakai bikini pun boleh hehehehehe.

Barulah boleh merasa seolah-olah percutian persis Kim Kadarsian kan.

 

Berendam Di Kolam Dan Berjalan di Taman Terapi

Siap sedia kekuda kaki untuk berjalan di atas batu bagi terapi kaki.

Boleh tahan sakit kaki hhhehehehee.

Lepas berjalan atas batu, boleh juga merendamkan kaki dan badan di kolam-kolam yang terdapat di sekitarnya.

Terapi mata dilupa jangan.

Berjalan-jalan sambil tengok kehijauan pun mengujakan.

Boleh belajar tentang spesies pokok juga kerana ada beberapa pokok yang diletakkan maklumatnya.

Kalau penat berenang di kolam, kanak-kanak boleh sambung aktiviti di taman permainan.

Tempat Makan

Jangan risau tentang makanan ye kerana ada Tempayan Café, Rumbia Café, Meranti Coffee House dan Warung Mate Ayor untuk kita menjamu selera.

Kalau bermain dengan air ni, kebiasaannya kejap beno laparnya kan.

Jangan dirisau ye sebab ada 3 pilihan tempat makan di sini.

Tempayan Café adalah café yang terletak bersebelahan dengan kolam air sejuk.

Sempat den dan konco-konco makan pau dan jagung dalam cawan di sini.

 

Kemudahan Lain

Terdapat dua aktiviti yang dioperasikan oleh pihak ketiga iaitu Animal Village dan Spa & Massage CintaMi.

Bagi kedua tempat ini, ada bayaran tambahan lain untuk masuk ke sini ye.

Isteri dan ibu boleh memanjakan diri di spa bila ayah membawa anak-anak melihat haiwan.

Den tidak sempat untuk menjengah dua tempat ini.

In sya Allah lain kali ye.

 

Bagi syarikat dan jabatan yang berhasrat hendak membuat mesyuarat, bengkel dan seminar serta teambuilding atau keluarga hendak membuat kenduri kahwin, hari keluarga dan sebagainya, boleh pilih samada hendak menggunakan Laman Ballroom, Serai Boardroom atau Bilik Halia 1 dan 2.

Surau dan tandas serta shower tersedia di dalam kawasan ini.

 

Pilihan Penginapan Bilik Hotel atau Villa

Terdapat 64 buah bilik deluxe samada katil king atau katil 2 singles.

Harga bilik deluxe bermula dari RM150 - RM350.

Harga bilik termasuk sarapan pagi dan tiket masuk ke kolam air sejuk dan kolam air panas untuk dua orang.

Bagi 18-unit villa, ianya dilengkapkan dengan jakuzi.

Best kan?

Kome boleh berendam dalam jakuzi ni sampai lebam begitu konsepnya.

Villa 1 bilik RM500 +++ (sarapan + tiket masuk ke kolam air sejuk dan kolam air panas untuk 2 orang).

Villa 2 bilik RM 750 ++ + (sarapan + tiket masuk ke kolam air sejuk dan kolam air panas untuk 4 orang).

Villa 3 bilik RM1200 - RM1800 (sarapan + tiket masuk ke kolam air sejuk dan kolam air panas untuk 6 orang).

Setiap bilik dan villa dilengkapkan dengan televisyen, seterika, air mineral, kopi dan teh serta bathtub.

Bagi villa, terdapat kemudahan peti sejuk dan kabinet dapur.

Untuk tambahan kemudahan, sarapan dewasa (RM25) dan kanak-kanak (RM20).

Tambahan tilam RM30 setiap satu.

Harga bagi bilik penginapan berubah mengikut hari bekerja, hari minggu, hari cuti umum dan kelepasan am.

Kami tidur di Green Villa.

Ini satu-satunya villa dengan 6 bilik tetapi tiada jakuzi sini ye.

Untuk dapatkan harga terkini bilik penginapan, boleh rujuk laman sesawang Felda Residence Hot Spring Sungai Klah yang den akan kongsikan nanti di akhir penulisan ye.

 

Dua Pilihan Samada Menginap atau Lawatan Harian (Day Trip)

Kita boleh menginap di sini atau menghabiskan masa bersama keluarga atau teman secara lawatan harian di sini.

Terdapat dua (2) pintu masuk yang berbeza untuk tujuan ini.

 

Sekiranya kita pergi ke sini secara lawatan harian, kita akan memasuki kawasan ini melalui pintu masuk kedua yang menempatkan kaunter tiket.

Selepas pembelian tiket dibuat, kita akan melepasi pemeriksaan keselamatan.

Makanan dari luar tidak boleh dibawa masuk ke dalam kawasan ini ye.

 

Bagi mereka yang menginap samada di hotel dan villa, mereka akan mendaftar masuk di lobi selepas melepasi pintu masuk pertama serta pemeriksaan keselamatan.

Apa yang berbeza sekiranya kita menginap atau lawatan harian adalah masa yang lebih panjang untuk kita berendam di dalam kolam air panas, mandi di mountain springs pool dan sebagainya.

Harga Tiket

Bagi mereka yang menginap di bilik hotel dan villa akan mendapat sarapan dan tiket masuk ke taman termasuk kolam air panas dan kolam air sejuk bergantung kepada kapasiti bilik dan villa tersebut.

Harga tiket untuk lawatan harian adalah seperti berikut:

Dewasa (13 tahun ke atas) RM18

Kanak-kanak (4 - 12 tahun) RM15

Cashless Payment

Bermula 1 Julai 2023, semua aktiviti dan café di sini tidak lagi menerima bayaran secara tunai ye.

Semua bayaran samada menggunakan QR Code atau swipe card ye.

 

Waktu Operasi

Waktu operasi Felda Residence Hot Spring Sungai Klah dan semua aktiviti di dalamnya adalah:

Isnin - Jumaat: 8 pagi hingga 7 malam

Sabtu - Ahad dan cuti umum: 8 pagi hingga 10 malam

Alamat:

Felda Residence Hot Spring Sungai Klah

Jalang Sungai Klah

35600 Sungkai, Perak

Untuk maklumat lanjut tentang Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai, Perak, kome boleh layari:

Laman sesawang: https://www.feldaresidences.com/hotels-resorts/felda-residence-hot-springs-sungkai-perak/

Facebook: https://www.facebook.com/frhotspringsperak/

Instagram: https://www.instagram.com/kumpfeldaresidence/

Email: reservation.frhs@feldaresidences.com

Telefon: 05-4388803 / 05-4388801

Jadinya moh kita bercuti ke Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai, Perak bersama keluarga dan teman-teman.


 


 

2 Comments

  1. menarik dan lengkap sekali artikel ini berkaitan tempat air panas tersebut....bab merebus telur itu yang baik rasanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang awesome makan telur rebus atau telur setengah masak di situ

      Delete