Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah den telah selamat menerima suntikan vaksin Sinovac dos pertama pada minggu lepas.

Ini adalah salah satu rezeki sebab den hanya mendaftar untuk vaksin di MySejahtera pada 31 Mei 2021. Den tidak jangka langsung akan mendapat temujanji untuk cucuk vaksin dos pertama agak awal kerana berdasarkan pembacaan di laman sosial, ada ramai lagi yang masih tidak mendapat tarikh temujanji untuk dos pertama walaupun telah mendaftar awal.

Jadinya agak terkejut juga bila mendapat temujanji vaksin dos pertama pada 8 Julai 2021. Alhamdulillah rezeki.

Benda Yang Perlu Dibawa

Pastikan semua benda di bawah ini dibawa semasa hari temujanji vaksin okay.

1. MyKad (Kad Pengenalan)

2. Pen

3. Handphone sebab kena guna MySejahtera (pastikan bateri penuh atau boleh juga standby power bank)

4. Laporan kesihatan (sekiranya berkaitan)

5. Senarai ubat yang dimakan (sekiranya berkaitan)

Proses Di Pusat Vaksinasi

Berapa lama proses hendak mendapatkan vaksin di pusat vaksinasi?

Ini sebenarnya bergantung kepada tempat kita akan dicucuk vaksin dan bilangan temujanji pada masa itu. Kawan den cucuk di tempat yang sama dengan den tetapi pada hari berbeza, laju gila pergerakan tidak sampai 30 minit dah selesai semuanya.

Macam den ambil masa dalam 2 jam untuk selesai semuanya sebab ramai betul orang masa tu.

Ini yang den lalu sepanjang proses vaksinasi dos pertama.

1. Kaunter 1

1. Pengesahan maklumat temujanji pada hari tersebut

2. Ambil nombor giliran dan mengisi Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19

2. Ruang menunggu 1 - Scan MySejahtera untuk penerimaan vaksin

3. Kaunter 2 - Pengesahan maklumat berdasarkan MyKad di dalam sistem dan MySejahtera

4. Kaunter 3 - Berjumpa dengan petugas kesihatan - pengesahan maklumat tahap kesihatan, penerangan ringkas tentang jenis vaksin yang diberikan dan kesan sampingan yang mungkin berlaku.

5. Ruang menunggu 2 - tunggu giliran untuk dicucuk vaksin

6. Dicucuk vaksin dos pertama (sekejap je rasanya tidak sampai 2 minit).

7. Scan MySejahtera - pengesahan selesai dicucuk vaksin dos pertama

8. Kaunter 4 - Serahan MyKad untuk temujanji seterusnya

9. Ruang pemerhatian - Rehat selama 15 minit

10. Kaunter 5 - Pemulangan MyKad dan pemberian kad temujanji termasuk tarikh temujanji untuk vaksin dos kedua.

Simpan molek ye kad vaksinasi dan borang persetujuan ni sebab perlu dibawa semasa vaksinasi dos kedua nanti

Den memang tidak ambil gambar apa pun sebab tiada rasa hendak mengambil gambar tetapi den sempat baca separuh e-book The Nakano Thrift Shop oleh Hiromi Kawakami. Ini kira pencapaian juga setelah lama terbelenggu di dalam fasa reading slump yang sangat mengerikan.

Ngeri Ke Tak Cucuk Vaksin

Cuak juga sebab telah lama tidak terjebak dengan perkara berkaitan dengan jarum suntikan ni tapi sekejap je proses cucuknya tidak sampai dua minit pun. Umur dah 40an macam ni pun bila nak kena cucuk siap pejam mata. Memang agak penakut di situ.

Rasa macam kena gigit semut api untuk den.

Kesan Sampingan Vaksin Sinovac Dos Pertama

Setiap orang mempunyai kesan sampingan yang berbeza-beza selepas mengambil suntikan vaksinasi.

Untuk den, Alhamdulillah tiada kesan sampingan selepas den mengambil suntikan vaksinasi Sinovac dos pertama cuma lengan yang dicucuk tuh rasa lenguh dan sengal sedikit selama 2 hari.

Den tidak makan apa-apa ubat dan supplement apa pun sebelum dan selepas divaksin. Den semasa keadaan biasa dari dulu lagi, bukan nak pergi vaksin pun memang setakat ini tidak makan supplement sebab den adalah sejenis pemalas makan-makan supplement ni.

Lepas cucuk vaksin den tidak sapu minyak angin ke apa di bahagian yang dicucuk tuh. Den memang tidak buat apa-apa pun.

Lepas divaksin, den buat rutin harian macam biasa seperti melipat 2 bakul baju yang baru diangkat dari jemuran sambil melayan KDrama (kisah lipat baju ni memang la tidak akan berkesudahan kan), melayan pelbagai kisah kerja sekolah PdPR, mesyuarat atas talian dan sebagainya.

Ini untuk diri den la ye. Untuk orang lain, kesannya mungkin berbeza dan aktiviti selepas suntikan vaksin pun berbeza. Kita buat apa yang sesuai untuk diri kita okay.

Boleh baca tentang kesan sampingan vaksin di poster yang disediakan oleh pihak berwajib ye.

Perlu Vaksin Ke Tidak?

Den daripada dulu adalah termasuk di dalam golongan yang cuba sedaya upaya percaya kepada perkara-perkara yang telah ditentusahkan oleh pihak yang lebih pakar dan arif tentang di dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Disebabkan den dulu pernah melalui fasa kena cucuk Clexane setiap hari sepanjang mengandung dua orang anak-anak den, jadinya memang den jenis ikut cakap doktor sebab sepanjang den berurusan dengan mana-mana doktor, Alhamdulillah semuanya memberikan penerangan berdasarkan fakta dan memberikan pilihan kaedah perubatan yang sesuai dengan keadaan kesihatan den.

Jadinya bila memang dikatakan keperluan untuk vaksinasi bagi membentuk herd immunity bagi meningkatkan tahap survival kita, den ikut aje sebab orang-orang yang arif dalam bidang perubatan, virus, imunisasi dan sebagainya telah membentangkan pelbagai fakta berkaitan vaksinasi Covid-19 ini.

Hukum pengambilan vaksin Covid-19 pun telah dikeluarkan oleh pihak yang pakar di dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Rasa takut, ngeri dan cuak untuk ambil vaksin yang baru diformulasi dan tiada history data tentang kesan sampingan, kadar keberkesanan, dengan pelbagai spekulasinya dan sebagainya itu memang normal tetapi nak tak nak, kita perlu berusaha untuk beri peluang kepada diri kita dan orang di sekeliling kita untuk sama-sama survive.

Abah den yang berumur 73 tahun, yang merupakan a prostate cancer survivor + bypass jantung + ada darah tinggi dan gout telah selesaikan dua dos vaksinasi Covid19. Tak payah dipujuk ke apa sebab abah adalah sejenis mendengar cakap doktor juga (perangai ni menurun dekat den rupanya), dia antara golongan yang terawal mendaftar untuk vaksinasi dan selesai vaksin dos kedua dalam bulan Syawal hari tuh.

Jadinya kepada sesiapa yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, moh la kita sama-sama mendaftar supaya proses membentuk herd immunity dapat dilakukan lebih cepat.

Kepada sesiapa yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tetapi masih belum mendapat tarikh temujanji, den doakan semuanya dipermudahkan dan semoga gilirannya akan sampai tidak lama lagi.

Tak tau kenapa tiba-tiba terngiang-ngiang lagu Heal The World oleh Michael Jackson bila cakap pasal vaksinasi Covid19 ni. Den dan dramatik berpisah tiada.

2 Comments

  1. Alhamdulillah dah selesai 1 dose ye. Semoga yang menanti dapat segera dan yang belum register cepat cepat register.

    ReplyDelete