Assalamualaikum dan salam sejahtera.

In sya Allah ini adalah post terakhir tentang sesi berjimbaan den dan konco-konco ke Kota Kinabalu - Kundasang pada 10 - 13 Januari 2020. Makan setahun baru siap semua cerita, penangan kemalasan berganda di kala PKP, PKPB, PKPD dan PKPP ini memang tidak dapat dijustifikasikan dengan sebarang alasan pun.

Tagal Taman Tinopikon adalah tempat yang den memang hendak pergi dan telah maklumkan kepada Kak Noris semasa beliau hendak buat itinerary. Den memang telah lama teringin hendak ke memberi makan ikan di dalam sistem tagal sejak boss den cerita tentang sistem ini semasa program lawatan teknikal beliau tentang pengurusan sungai lestari pada tahun 2015. Akhirnya setelah 5 tahun memasang angan-angan hendak ke sini, Alhamdulillah tercapai juga hasrat hendak memberi makan ikan di sini.

Perjalanan

Perjalanan ke Tagal Taman Tinopikon Penampang dari bandar Kota Kinabalu sejauh 25 km mengambil masa lebih kurang 40 minit. Dari tempat meletak kereta di tepi jalan, kita perlu menuruni tangga untuk dan merentasi titian gantung untuk sampai ke kawasan yang telah dikhaskan untuk kita memberikan ikan makan.

Sungai Moyog

Semasa berada di titi gantung lagi kita telah boleh melihat panorama indah dan mendengar bunyi aliran Sungai Moyog mengalir. Memang mengundang rasa ketenangan jiwa dan minda. Dekat sini pun akan terpaku lama sebab kita akan terpesona tengok air mengalir. It just you and the nature begitu.

Tagal Taman Tinopikon

Tagal atau bombon bermaksud ‘larangan’ atau ‘jangan’ dalam bahasa Kadazandusun. Memang jelas dinyatakan di papan tanda perkara-perkara yang tidak dibenarkan dilakukan di sini termasuklah ‘tidak dibenarkan memancing’. Kawasan ini diuruskan oleh komuniti tempatan.

Sistem tagal adalah pemuliharaan sumber perikanan sungai bagi menjamin sustainability sumber tersebut secara berterusan.

Sehingga 2019, terdapat 554 kawasan di Sabah yang melaksanakan sistem tagal yang melibatkan 223 buah sungai. Antara sistem tagal yang terkenal adalah Tagal Kg Luanti di Ranau. Mungkin selepas ini, kalau ada rezeki ke Sabah lagi boleh memberi ikan makan di situ pula atau di beberapa tempat lain seperti Babago, Nalapak dan Kiburot.

Tiket masuk ke Tagal Taman Tinopikon adalah RM5/dewasa dan RM2/kanak-kanak.

Memberi Makan Ikan Pelian

Masa hendak buat itinerary ke sini Kak Noris bagitau awal-awal yang dia tidak akan masuk ke dalam sungai memberi ikan makan sebab dia geli. Den ingatkan dia main-main tapi sungguh dari mula sampai ke sudah dia jejak kaki ke gigi air pun tidak, bertuah betul kakak seorang itu.

Mujur Atiqah sudi juga masuk ke dalam sungai tapi hendak memujuk dia mencelupkan tangan memberikan ikan makan memang mengundang gelak ketawa sebab dia punya geli tidak boleh dibawa berbincang. Setiap kali den tengok video kitaorang memberi makan ikan di sini memang mengundang ketawa. Korang kena tengok video yang den kongsikan ini ye.

Makanan ikan dijual pada harga RM2/seplastik.

Ikan Pelian atau ikan kelah merupakan ikan yang tidak mempunyai gigi. Jadinya bila ikan-ikan ini makan makanan daripada tapak tangan kita, in sya Allah tidak akan luka cuma akan rasa geli-geli sedikit sahaja.



Pengalaman memberi makan ikan pelian adalah satu pengalaman yang sangat manis untuk den. Kalau memang ada masa yang panjang dan bawa baju salin rasanya memang akan duduk bersila dalam Sungai Moyog untuk bagi ikan makan (den rasa kalau duduk mungkin kebarangkalian hendak dapat memegang ikan pelian itu akan lebih tinggi).

Memberi makan ikan pelian di Tagal Taman Tinopikon sememangnya merupakan salah satu perkara yang di dalam senarai bucketlist di dalam hidup den.

Kepada sesiapa yang hendak memberi ikan makan, pastikan bawa pakaian salin, tuala dan selipar. Den main belasah je pakai blouse ropol-ropol ke sini, tidak kena gaya sungguh hehehehhehe.

Terdapat pakej pelancongan ke Tagal Taman Tinopikon ini yang boleh diambil yang merangkumi aktiviti melawat ke rumah kampung dan dusun, demonstrasi menoreh getah, jungle trekking, mandi manda di air terjun, memberi makan ikan, mandi sungai dan lain-lain. Biasanya aktiviti dalam pakej yang ditawarkan mengambil masa setengah hari. Macam kitaorang memang tema dari awal hanya hendak memberi makan ikan, jadinya memang tidak siasat pasal pakej apa pun.

Kalau setakat hendak memberi makan ikan pelian macam kitaorang sambil mencelup kaki ke dalam Sungai Moyog rasanya 1 jam setengah telah cukup untuk melepak di sini.

Facebook komuniti di https://www.facebook.com/ttpsabah/ telah lama tidak dikemaskini tapi kalau hendak diikutkan waktu operasi dalam 9 pagi - 6 petang. Disebabkan kami tidak mengambil pakej, kami cuma redah datang pagi-pagi selepas check out dari hotel.


2 Comments

  1. Insya Allah ada rezeki kita pusing sabah lagi ya.. kalau tak kerana Sari yg offer utk ikut ke Sabah, mmg tak pergilah masa tu..

    ReplyDelete