Mengukir Senyuman Anak-Anak Rumah Yayasan Sunbeams

Bersempena Hari Senyum Sedunia, yang disambut pada setiap hari Jumaat yang pertama bulan Oktober sejak tahun 1999, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd (Tokio Marine) telah melawat Rumah Yayasan Sunbeams seminggu sebelumnya untuk menyebarkan kegembiraan kepada kanak-kanak di sana.
Seramai dua puluh kakitangan Tokio Marine telah mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung pada Sabtu (28 September, 2019) di mana sesi melukis mural telah berlangsung untuk menghiasi dinding lama di luar bilik tidur kanak-kanak tersebut, serta sesi bengkel seni untuk mengajar mereka beberapa hasil kraftangan.
Kanak-kanak yang terlibat di sesi bengkel seni itu berjaya menghasilkan 100 barangan. Antaranya adalah cawan menarik dalam pelbagai warna dan beg kitar semula yang turut dijual bagi menjana sebanyak RM3,000 untuk Rumah Yayasan Sunbeams.
Rumah Yayasan Sunbeams adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan pada tahun 1995 dan sekarang menempatkan kira-kira 132 orang kanak-kanak mangsa penderaan, terbiar dan ibu tunggal yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Selain daripada itu, Tokio Marine turut menyumbang beberapa barang keperluan kepada Rumah Yayasan Sunbeams.

“Saya sangat gembira dan teruja melihat sukarelawan kakitangan kami meluangkan masa mereka dengan kanak-kanak di sini untuk menyebar kegembiraan dan membawa senyuman yang bahagia di wajah mereka. Senyuman mungkin sementara, tetapi saat ini sangat berharga untuk mengisi hati seseorang,” menurut En. Yoshiaki Okabe, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine.

“Hari seperti ini mengingatkan dan memperkuatkan lagi komitmen kami untuk melihat lebih daripada perspektif keuntungan, selanjutnya bertindak dengan penuh integriti bukan hanya untuk memberi faedah kepada pelanggan dan rakan kongsi perniagaan, tetapi juga kepada masyarakat. Saya gembira kami telah memberi inspirasi serta semangat sedemikian kepada kakitangan kita untuk melihat sekeliling kita, dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja kita mempunyai peluang dengan tidak mengira tempat atau masa,” tambah beliau.

En. Alvin Tan Ooi Seng, Pengasas Rumah Yayasan Sunbeams dan sebagai wakil yang menerima barangan dan wang tunai yang disumbangkan berkata: “Seperti kata pepatah, ‘jika anda berbuat baik kepada orang lain, ia bukan hanya memberi perubahan kepada anda, malah dunia’. Oleh itu, terima kasih atas kehadiran anda pada hari ini dan mengambil bahagian demi manfaat kanak-kanak di sini”.

Hari Senyum Sedunia ini dicipta dan dimulakan oleh mendiang Harvey Ball, seorang artis komersial dari Amerika Syarikat pada 1963. Walaupun imej tersebut telah menjadi simbol yang dikenali sebagai pembawa muhibah dan keceriaan, namun Ball prihatin dengan pengkomersialan simbolnya serta kehilangan makna asal simbol tersebutdengan penggunaan yang kerap di pasaran. Untuk mengekalkan niat asalnya, Ball berpendapat bahawa setiap individu perlu mendedikasikan satu hari setiap tahun kepada senyuman dan sumbangan yang baik, dan telah mengisytiharkan hari Jumaat yang pertama bulan Oktober setiap tahun sebagai Hari Senyum Sedunia.

No comments:

Powered by Blogger.