Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalau datang ke Chenor tetapi tidak singgah ke Galeri Pelancongan Chenor memang sesuatu yang merugikan kerana galeri yang terletak di dalam bangunan berbentuk songkok ini menempatkan maklumat sejarah, adat resam, budaya, makanan, tokoh-tokoh kelahiran Chenor dan sebagainya. 

Galeri Pelancongan Chenor dibahagikan kepada 2 tingkat di mana tingkat bawah dilengkapi dengan maklumat berkaitan:

1.  sejarah asal usul nama Chenor;

2. lokasi bersejarah pelancongan Chenor (yang kami tidak berkesempatan untuk melawat. In sya Allah kita set masa lain nanti bila ada rezeki untuk melawat semua tempat ini); 

3. asal usul bangunan songkok Chenor; dan

4. gambar busana tradisi orang Pahang seperti sampin Pahang dan tanjak.

Tingkat 2 galeri ini menempatkan maklumat adat resam, budaya, makanan, tokoh-tokoh kelahiran Chenor dan sebagainya

Tokoh-Tokoh Chenor

Kita perlu menghabiskan sekurang-kurangnya 45 minit untuk habis membaca maklumat tentang tokoh-tokoh yang majoritinya kelahiran Chenor yang dipamerkan di tingkat 2 bangunan ini kerana ramai rupanya anak kelahiran Chenor yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama, ketenteraan, pendidikan, pentadbiran, sukan, seni, politik dan sebagainya.

Dalam senarai tokoh yang dipamerkan, den paling tertarik dengan tokoh pejuang kemerdekaan iaitu Ibrahim bin Yaakob yang merupakan Presiden dan pengasas Kesatuan Melayu Muda, antara persatuan yang menentang penjajahan British di Tanah Melayu. 2 rangkap pantun yang disertakan pada maklumat beliau sememangnya menggambarkan semangat juang beliau di dalam memperjuangkan nasib bangsa dan Negara.

Sejak-sejak umur 40an ni, memang touching dia tuh lebih sedikit bila berbicara pasal perjuangan mendapatkan kemerdekaan dan mempertahankan serta memperkukuhkan jati diri Negara.

Kami yang melawat Galeri Pelancongan Chenor pada hari tersebut sebenarnya bertuah kerana kami diberi taklimat oleh orang yang memberikan ilham supaya galeri ini dibangunkan dan memastikan pembinaan galeri ini mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan iaitu bekas ADUN Chenor iaitu YB Dato’ Haji Mohamed Ariffin bin Awang Ismail. Untuk pengetahuan semua, YB Dato’ juga merupakan individu yang bertanggungjawab mencipta bait rangkap pantun yang indah dan penuh berseni yang diabadikan di galeri ini. Orang Chenor memang ramai yang berbakat rupanya kan.

Tersedia juga ruang yang yang selesa dan nampak elegant yang boleh digunakan untuk perbincangan bagi kumpulan kecil.

Ada banyak maklumat lain yang kita boleh baca di galeri ini termasuklah maklumat:

Kesultanan Melayu Pahang

Di samping gambar potret Kesultanan Melayu Pahang, deretan pantun yang tersusun indah yang diabadikan juga sangat mempesona.

Jata dan bendera Negeri Pahang

Baru den tahu yang Pahang pernah menjadi pengeluar emas dan gading yang hebat pada satu ketika dulu.

Adat resam dan budaya orang Melayu

Biar mati anak jangan mati adat

Itu pepatah yang den tidak pasti masih terpakai atau tidak sekarang ini tetapi ada banyak maklumat tentang adat resam dan budaya orang Melayu yang dipamerkan di tingkat 2 galeri ini termasuklah adat berkhatan/bersunat, merenjis tepung tawar, mandi sampat dan lain-lain.

Tempat Pelancongan dan Makanan di Chenor

Gambar-gambar dan penerangan ringkas tentang tempat menarik di Chenor dan makanan yang wajib dicuba apabila datang ke Chenor.

Banyak juga tau tempat menarik di Chenor ni cuma masa tidak mengizinkan kami untuk ke semua tempat yang disenaraikan.

Kalau Temerloh terkenal dengan ikan patinnya, Chenor juga ada makanan yang kena cuba kalau sampai di sini iaitu Kuih Tiga Beradik yang mengandungi trio Kuih Pena, Kuih Badan Berendam/Berkubang dan Dodol Kukus. 

kredit gambar: blog ayuerejaluddin.com

Den memang kena datang lagi Chenor sebab tidak sempat makan pun Kuih Tiga Beradik ni huhuhuhuhu.

Peristiwa yang pernah berlaku di Chenor

Ini termasuklah banjir besar yang berlaku di Chenor pada Januari 1971 dan perang saudara yang berlaku pada 1857 - 1863.

Sejarah panglima dan pahlawan Chenor dan Makam Tokoh

Kalau kita tidak ke galeri sebegini, kita tidak akan tahu bahawa terdapat ramai rupanya panglima dan pahlawan di Chenor. Eh terasa macam kembali ke zaman silam pula bila sebut panglima dan pahlawan ni.

Maklumat di luar bangunan

Di sebahagian pagar yang mengelilingi bangunan ini pun disediakan maklumat kalau kita rajin membaca. Cumanya bila membaca di bawah sinaran terik pancaran matahari tu memang la mencabar sedikit hhehehehehe.

Ada banyak maklumat yang den baru belajar macam lesung indik, hencang buah keras, gendang Pahang, Silat Lenggang Mak Janda, tarian piring dan menganyut ikan. Terkesima sekejap sebab di dalam semua maklumat bersifat tradisional dan adat tiba-tiba terselit maklumat pasal dinosaur hehehehe.

Ada disediakan bas yang mengandungi maklumat dinosaur tetapi den tidak dapat tengok maklumat apa yang ada kerana kekangan masa.

Untuk makluman semua, Galeri Pelancongan Chenor ini masih belum dibuka kepada orang ramai. Perancangan untuk pembukaan galeri ini kepada orang ramai adalah pada tahun ini. Jadinya kalau sesiapa yang berhajat hendak ke sini, boleh semak dulu dengan Majlis Daerah Maran samada galeri ini telah mula beroperasi ye.

 

0 Comments