Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Cerita lama era pandemik tetapi telah dibenarkan untuk merentas negeri.

Baru sekarang terasa hendak berkongsi cerita tentangnya.

 

Semasa kami ke sini, muzium sedang ditutup kerana kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan (kenapa persis ayat gomen pun den tidak pasti hehehehe).

Jadinya kami tidak tahu apa yang ada di dalam muzium tersebut.

Kalau tidak silap semasa google tentang tempat ini, tidak pula dinyatakan muzium sedang ditutup.

Tidak tergerak hati pula untuk menyiasat maklumat terkini di Facebook nya.

 

Walaupun muziumnya sedang ditutup, kami masih dibenarkan untuk melawat kawasan candi kerana candi-candi berada di tempat terbuka.

Udah alang-alang datang, kami menjengah candi-candi ini sebab tidak tahu lagi bila ada rezeki hendak kembali ke sini.

Sebabnya tema berjimbaan adalah kami sebolehnya tidak akan mengulang pergi ke sesuatu tempat yang pernah dilawati.

Sebab ada banyak tempat lain yang belum pernah dijejak untuk diteroka.

Lagi-lagi tempat macam muzium nih ha sebab den sorang je yang berminat aktiviti belajar sejarah di muzium-muzium.

 

Jerai GeoPark

Muzium Arkeologi Lembah Bujang terletak di Kompleks Arkeologi Sungai Batu Pahat yang merupakan sebahagian daripada Jerai GeoPark di bawah Warisan Arkeologi dan Sejarah.

Dua tempat lain di dalam kategori yang sama adalah Kompleks Arkeologi Pengkalan Bujang dan Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

Empat (4) Candi di Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Udah alang-alang sampai ke sini, kita jengah la ke lokasi empat (4) candi yang berada di sini.

Hanya anak yang sulung sudi menemani den menyelusuri tinggalan sejarah yang tercatat pada candi yang masih ada di sini.

Kami berjalan dari satu candi ke satu candi dan cuba membaca semua maklumat yang terdapat di sini.

Empat Candi Pendiat, Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pengkalan Bujang dan Candi Bendang Dalam.

Ketiga-tiga candi yang pertama ditemui oleh Quaritch Wales, seorang arkeologi.

Ala-ala Indiana Jones la ye.

 

Selama ini den ingatkan semua candi ini adalah candi yang asal.

Tetapi semua candi yang terdapat di sini dibina semula.

Bila sebut candi sudah tentu ianya berkaitan dengan Hindu dan Buddha.

 

Candi Bukit Batu Pahat

Candi induk kepada semua candi yang berada di Lembah Bujang.

Tinggalan struktur candi ditemui pada 1936 - 1937.

Runtuhan candi dibina semula di tempat asal pada 1960.

Candi Pendiat

Tinggalan struktur candi ditemui di Kampung Pendiat, Merbok pada 1940.

Jabatan Muzium ekskavasi tapak ini.

Kemudiaannya candi ini dibina semula dan dipindahkan ke kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Candi Pengkalan Bujang

Tinggalan struktur candi ditemui di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok pada 1936.

Jabatan Muzium ekskavasi tapak ini pada 1976 - 1977.

Candi ini dibina semula dan dipindahkan ke kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Candi Bendang Dalam

Tinggalan struktur candi ditemui di Kampung Bendang Dalam, Merbok pada 1960an.

Ekskavasi pada 1974, 1976 dan 1981 oleh Jabatan Muzium.

Den sarankan korang datang melihat candi-candi ini sebelum pukul 6 petang ye.

Kalau tidak ramai pengunjung ketika mana korang datang ke sini, kalau datang lewat petang sangat mungkin agak menyeramkan sedikit.

Den memang penakut sedikit.

Kalau anak bujang tidak teman, tidak pasti berani ke tidak berjalan seorang diri di sini.

Begitulah…..semakin tua semakin kecut pula hati ni hehehhehe.

 

Pemerah Air Tebu, Pengisar dan Pelapik Patung

Selain daripada empat (4) candi tersebut, terdapat juga tinggalan sejarah yang lain seperti pemerah air tebu menggunakan tenaga kerbau, pengisar beras menjadi tepung dan tempat meletak patung.

Di perkarangan Muzium Arkeologi Lembah Bujang terdapat juga beberapa Perahu Sagor.

Perahu tradisi masyarakat Melayu Kedah ini ditemui di sekitar negeri Kedah.

Serpihan Perahu Sagor juga dipamerkan di sini.

In sya Allah bila ada rezeki satu hari nanti, kami akan kembali semula ke sini.

Sebab hendak melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang itu sendiri.

 

Boleh dapatkan maklumat lanjut tentang Muzium Arkeologi Lembah Bujang di:

http://www.jmm.gov.my/en/museum/lembah-bujang-archaeological-museum

 

Moh kita.

0 Comments