Kejayaan bukan sahaja disebabkan anda pintar, tetapi disebabkan Tuhan Maha Mendengar dan memberikan ganjaran dengan cara yang tidak diketahui oleh anda sendiri. Dia menyabarkan saya dan Dia menyedarkan saya bahawa sesuatu itu tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Den sememangnya tidak berminat hendak membaca buku biografi. Rasanya buku yang agak-agak hampir seperti biografi yang den pernah baca adalah The Renaissance Man: Royal Professor Ungku Aziz. Den baca buku ni lama dah tahun 2013 rasanya. Den tak tau kenapa den minat banget dengan arwah Pak Ungku sejak den sekolah rendah, mungkin sebab den rasa Pak Ungku sangat cerdik.  Handsome pun iya juga hehehehehehe.

Buku A Doctor in The House (Tun M) telah lama dibeli rasanya tahun 2015 kot tapi sampai ke hari ini den tidak membacanya.

Diari dari Penjara 1977 – 1981 oleh Harun Idris adalah antara buku yang den kategorikan sebagai antara buku yang den akan ulang baca sebab banyak sejarah, kisah dan pengajaran di dalam buku tersebut.

Den tidak sangka buku Anak Seorang Drebar oleh Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, pengasas Sapura Holdings ini penuh semangat juang dan warna-warni kisah kehidupan yang tidak berputus asa bisa memberi inspirasi kepada semua. Sebagaimanya prakata oleh Tun M mengatakan kesusahan hidup adalah sebaik-baik guru dan tidak ramai orang terutamanya generasi sekarang yang melalui jerit perih untuk berjaya sebagaimana orang dulu-dulu. Buku yang mesti dibaca begitu kesimpulannya.

Bagi den ini antara buku yang sangat awesome yang den pernah baca yang sememangnya akan diulang baca di kemudian hari bukan hanya kerana ketokohannya sebagai ahli perniagaan tetapi kerana peribadi beliau sebagai seorang insan terutamanya sikap tidak berputus asa, merendah diri, baik hati, sentiasa membantu orang, etc yang dapat kita rasakan walaupun kita tidak pernah berpeluang bersua muka dengan beliau. Sepanjang den baca buku ini tidak terasa sedikit pun aura meninggi diri di mana-mana helaian. Gaya penulisan adalah seperti atok, bapa atau bapa saudara memberikan panduan dan nasihat untuk melalui kehidupan yang penuh berliku tanpa berputus asa sehingga mencapai impian dalam bentuk penceritaan santai.

Buku ini asalnya digarap dalam Bahasa Inggeris (A Driver’s Son) yang diterbitkan oleh MPH Publishing pada 2017 sebelum ianya diterjemahkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan tajuk Anak Seorang Drebar.

Sinopsis Ringkas

Buku dengan 29 bab setebal 440 mukasurat ini bermula dengan kehidupan Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir sejak beliau dilahirkan pada 19 Ogos 1931 dan membesar di zaman pemerintahan British di rumah kongsi di kawasan perlombongan bijih timah di Lembah Kinta, Perak sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.

Kehidupan beliau semasa Jepun menjajah Malaya sehingga Jepun menyerah kalah pada 1946 penuh dengan kisah yang membuatkan den menahan nafas secara tidak sengaja sebab mengerikan dan mendebarkan macam melihat tentera Jepun memenggal kepala penduduk tempatan, belajar budaya, bahasa dan sejarah Jepun, hampir terjebak dalam kejadian yang berpotensi untuk berakhir samada dilatih sebagai tentera Jepun di New Guinea atau menjadi buruh kasar bagi pembinaan Landasan Keretapi Maut, bekerja di kapal korek dengan upah dua tin beras (penyelia beliau semasa bekerja di sini adalah Harun Idris), etc.

Semangat beliau untuk belajar walaupun terpaksa masuk semula ke darjah satu sekolah aliran Inggeris pada umur 17 tahun selepas perang berakhir, belajar di Victoria Institution pada umur 19 tahun (rakan sekelas yang lain berumur 12 tahun), persahabatan dengan Ananda Krishnan semasa di VI, kesukaran untuk menguasai Bahasa Inggeris, beberapa pekerjaan yang dilakukan semasa belajar sebelum akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik di Brighton Technical College dengan biasiswa Telekom pada usia 24 tahun.

Pengalaman 3 tahun belajar di Brighton diwarnai dengan kisah belajar bersama kawan-kawan, bekerja dan mengembara semasa cuti semester, menjadi pelakon tambahan, diserang virus Asia flu pandemic pada tahun 1957, etc.

Bab 15 - 19 berkisarkan tentang pengalaman bekerja di Telekom termasuk hampir terjebak di dalam pemberontakan bersenjata di Brunei pada Disember 1962 dan kehidupan peribadi, beliau berkahwin dengan Puan Sri Sapura, mendapat dua orang anak sebelum anak perempuannya meninggal dunia akibat leukemia semasa berusia hampir 3 tahun, mendapat anak bongsu pada 1969, kematian ayahnya, sedikit pengalaman tentang 13 Mei 1969, etc.

Bab 20 sehingga bab 29 adalah tentang kisah beliau meninggalkan Telekom dan bekerja di UMW bersama Eric Chia (yang dikenali dengan kes PERWAJA), kehilangan ibu semasa beliau menunaikan ibadah Haji, jatuh bangun dan perjalanan penuh cabaran merealisasikan penubuhan Sapura Holdings dan mengembangkan perniagaan (bank tempatan tidak mahu memberikan pinjaman, persaingan dalam rangkaian telekomunikasi yang menyaksikan ADAM terpaksa dijual kepada TIME dotCom, cabaran menguruskan telefon awam, gagal memecah monopoli perniagaan limau dan bawang, kontrak yang tidak disambung, Krisis Kewangan Asia, persaraan daripada jawatan eksekutif pada 1997, etc), corporate social responsibility, kehilangan Puan Sri Sapura pada 2004, perkahwinan kedua pada 2007, etc.

Tan Sri yang pernah mendapat anugerah Tokoh Melayu Terbilang mengatakan pencapaian terbesar beliau dalam hidup adalah “mewujudkan pekerjaan untuk orang lain dan membantu usahawan memulakan perniagaan”.

Banyak sebenarnya inspirasi dan pesanan daripada buku ini. Memang kena baca sendiri buku ini untuk betul-betul menilai dan memahami pesanan yang tersurat dan tersirat di dalam buku yang ditulis dengan penuh berhemah dan ayat bersopan santun walaupun membicarakan tentang perkara yang sedih, mengguris hati, menyebabkan rasa terkilan, etc.

13 Inspirasi dan Pesanan daripada Buku Ini

1. Tidak berputus asa dan terus bersemangat walau apa pun yang berlaku di dalam kehidupan.

Daripada helaian pertama buku ini sehingga biografi ini dinoktahkan pada mukasurat terakhir, ini adalah perkara yang paling jelas sekali. Semua jatuh bangun di dalam kehidupan dilalui dengan bertabah hati.

2. Jujur dalam semua perkara di dalam hidup termasuk pekerjaan dan perniagaan.

Jangan terlibat dengan penipuan dan rasuah. Jangan terlibat dengan jalan belakang untuk mendapatkan projek atau sesuatu.

Pesan Tan Sri, dapatkan sesuatu dengan ‘apa yang kita tahu’ bukan ‘siapa yang kita tahu’.

3. Jangan tamak, jangan dengki, ukur kemampuan diri dan timbang tara setiap peluang dan risiko yang datang bersamanya.

Setiap orang Allah telah tentukan rezeki masing-masing.

Kita mungkin terlepas beberapa peluang di dalam hidup dan jangan dikesalkan perkara tersebut kerana mustahil kita mendapat semua perkara yang dikehendaki di dalam hidup. Jangan dikesalkan perkara tersebut.

Sekiranya kita tidak mendapat apa yang kita kehendaki, tender/projek yang kita bida, etc kita jalan terus untuk perkara yang lain.

4. Kesejahteraan dan kebajikan pekerja adalah perkara utama di dalam mana-mana organisasi kerana mereka adalah aset di mana dedikasi mereka akan menentukan kejayaan organisasi. Majikan bukan sekadar membayar gaji pekerja dan mematuhi undang-undang buruh. Pekerja bukan robot yang boleh diprogram dan diselenggara untuk membuat sesuatu kerja.

Perkara ini juga dipesan oleh Sir Richard Branson dalam buku dan beberapa temuramah beliau. Antara nasihat beliau yang den ingat sampai sekarang adalah "Clients do not come first. Employees comes first. If you take care of your employees, they will take care of your clients".

Tidak semua pengurusan tertinggi termasuklah di sektor perkhidmatan awam yang mempraktiskan nilai murni ini. Ini nampak lebih ketara sejak pandemik Covid19 melanda dunia termasuk Malaysia. Berapa banyak kes yang kita baca, dengar dan lalui di mana pengurusan tertinggi sesuatu organisasi ambil mudah, kurang prihatin, endah tidak endah tentang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja. Ada yang disuruh bekerja walaupun masih dalam tempoh kuarantin, pekerjaan berisiko tetap dijalankan walaupun kakitangan masih belum mendapat 2 dos vaksinasi lengkap, etc. Belum lagi kata-kata yang boleh buat semangat kita jatuh merudum seperti ‘kalau kamu tidak mahu kerja, ramai lagi yang hendak kerja ini’, etc.

5. Pendidikan adalah penting untuk mengubah hidup seseorang.

Rasanya perkara ini dinasihatkan oleh semua orang. Tidak kira samada pendidikan rasmi atau tidak rasmi kerana semua jenis pendidikan adalah penting.

Pendidikan akan menjadikan kita book wise dan street wise di dalam mencorakkan kehidupan kita.

6. Sembunyikan sedekah dan amal kebaikan

Pesanan ini juga sering dititipkan oleh ustaz dan ustazah.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: "Antara tujuh golongan yang diberi naungan pada hari akhirat apabila tidak ada naungan melainkan naungan Allah. Mereka termasuklah orang yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu disembunyikannya sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanan."

7. Sentiasa berbuat kebaikan dan membantu orang yang memerlukan walaupun kita sendiri susah.

Ini yang diterapkan oleh ibu bapa Tan Sri yang tidak pernah menolak membantu sesiapa yang memerlukan walaupun mereka sendiri cukup-cukup makan ketika itu. Prinsip ini dipegang oleh beliau walaupun ramai menasihati beliau agar berpada-pada membantu orang.

8. Sentiasa merendah diri, menghormati orang lain, melayan setiap orang sama rata tanpa mengira kedudukan dan jangan memandang rendah kepada orang lain

Setiap orang mempunyai peranan di dalam kehidupan kita samada sebagai pengajaran atau peluang kepada perkara yang lebih baik di dalam kehidupan kita. Kita tidak tahu masa hadapan kita macam mana. Peningkatan di dalam kehidupan tidak seharusnya mengubah peribadi kita daripada yang molek-molek kepada orang yang sombong dan sebagainya.

9. Sentiasa belajar dan mahirkan diri dalam bidang yang diceburi tidak kira pekerjaan atau perniagaan.

Pastikan ada pengetahuan dan kemahiran bagi perkara yang hendak diceburi agar dapat melaksanakan semua perkara dari mula sehingga akhir.

Kita akan belajar sehingga akhir hayat kita di dalam hidup ini.

10. Pilih rakan kongsi/pekerja yang berkeupayaan, percayakan mereka dan berikan mereka kebebasan untuk menjana idea dan memimpin pasukan dan lepaskan mereka untuk lebih berjaya

Kita perlu percaya kepada pekerja kita untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan pemantauan minima. Beri peluang dan dorongan kepada mereka untuk berkembang, meningkatkan diri dan lepaskan mereka untuk peluang yang lebih besar dan baik di dalam hidup mereka.

Kita dapat lihat Tan Sri memilih orang yang tepat dan berkeupayaan di dalam perjalanan membangunkan Sapura Holdings. Antaranya adalah Khoo Soo Keong, Rameli Musa, Khalilur Ebrahim, Anuar Othman, Simon Foong, Guna Seger, Khalid Karim, Parmjit Singh, Wan Shaharuddin, etc.

Kalau digoogle semua nama ini, kita dapat baca mereka semua berjaya dalam perniagaan masing-masing selepas meninggalkan Sapura dan anak syarikat Sapura.

Pengurusan tertinggi di dalam perkhidmatan awam pun ramai yang tidak mampu menggunapakai konsep ini. Berapa ramai kakitangan awam yang cemerlang tetapi terpaksa berhenti daripada perkhidmatan awam (kehilangan pencen dan manfaat lain) selepas permohonan mereka untuk bersara awal ditolak, ada yang tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti PhD kerana tidak disokong oleh ketua jabatan walaupun ada peruntukan Hadiah Latihan Persekutuan dan sebagainya.

11. Semua perkara di dalam hidup perlukan kerja keras

Ini dapat dilihat dalam seluruh penceritaan di dalam buku ini terutamanya semasa Tan Sri mula-mula hendak membangunkan Sapura dengan 5 orang kakitangan pada tahun 1975.

12. Sesetengah perkara perlukan pengorbanan.

Pilihan menghantar kedua orang anak belajar di Aldenham, Hertfordshire pada umur 13 tahun kerana dasar pendidikan Malaysia yang sering berubah menyebabkan Tan Sri dan isteri kehilangan masa bersama-sama anak-anak selama mereka belajar di sana.

13. Give back to the community.

Bahagian daripada keuntungan syarikat diberikan kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat. Di dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

Ini juga pesanan yang sering dititipkan oleh orang-orang yang berjaya.

Ada banyak lagi pesanan yang boleh diambil dari buku ini.

Den sarankan setiap orang membaca buku ini paling kurang sekali dalam hidup mereka sebab buku ini sememangnya banyak pengajaran dan inspirasi yang disampaikan secara penceritaan yang kita rasa dekat di hati.

Buku ini boleh didapati melalui atas talian:

A Driver’s Son di MPH - RM 32

Anak Seorang Drebar di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) (Shopee) - RM19.90

Selamat membaca dan bersemangat untuk terus berusaha belajar, bekerja, hidup dan sebagainya sebagaimana yang disampaikan di dalam buku ini.

Den akhiri resensi buku ini dengan salah satu nasihat oleh Tan Sri iaitu “kebahagiaan ertinya memiliki sesuatu secukupnya, memiliki keluarga bahagia dan mencapai impian kita. Inilah yang paling penting

Ini antara buku yang den nilaikan sebagai 5/5.

Ada sesiapa boleh kongsikan buku biografi tokoh-tokoh yang sebegini? Inspiring yet humbling.


2 Comments

  1. menariknya, banyak pengajaran dari buku ini rupanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang best buku ni. Penulisannya penuh berhemah. Sekali pun tiada terasa aura yang negatif dalam buku ini.

      Delete